Penahanan warga Nepal bawa penemuan bayi


MUAR - Polis berjaya menahan seorang lelaki warga Nepal selepas dipercayai mempunyai unsur berkaitan kes penculikan bayi berusia 17 bulan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, suspek utama berusia 25 tahun itu ditahan bersama-sama dengan sebuah telefon bimbit milik keluarga mangsa yang dilaporkan hilang.

Menurutnya, lelaki berkenaan ditahan di sebuah rumah kongsi di Bukit Treh jam 9 pagi.
Susulan penahanan suspek, Zaharudin berkata, mangsa berjaya ditemui sebuah belukar pada jam 3.45 petang, kurang 12 jam dia dilaporkan hilang.
“Hasil soal siasat ke atas suspek, pihak polis telah berjaya menemui mangsa di dalam sebuah belukar berhampiran pencawang elektrik lebih kurang satu kilometer dari rumah pengadu.
“Mangsa telah diselamatkan dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk rawatan. Siasatan lanjut sedang dijalankan ke atas kes ini,” katanya.
Bayi malang sebelum itu ditemui pasukan anggota seorang diri di belukar dalam keadaan menangis selain luka-luka kecil akibat digigit serangga.
Zaharudin berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 363 dan 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan culik dan pecah masuk.

Dalam pada itu, wakil keluarga yang juga ibu saudara mangsa, Fah Nur-Aini Syed Mustapha 36, merakamkan jutaan penghargaan kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kecekapan pihak terbabit serta seluruh rakyat Malaysia yang turut bersama-sama mendoakan kesejahteraan Nur Aisyah Hasmizan.
Keadaan terperinci bayi berkenaan masih belum diketahui ekoran sedang dirawat di Unit Kecemasan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.
Pagi tadi, media melaporkan seorang bayi perempuan berusia 17 bulan dipercayai diculik selepas kediaman mereka di Kampung Parit Lanjut, Sungai Terap, di sini, dipecah masuk awal pagi.
Kehilangan mangsa, Nur Aisyah Hasmizan dikesan selepas neneknya, 68 tahun yang turut berada di kediaman itu terjaga pada jam 5pagi bagi menyiapkan juadah sahur.

Post a Comment

0 Comments